top of page

SUMBANGAN

 

 

       Banyak jasa, bakti dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh 7 RAMD dalam mempertahankan tanah air tercinta. Semenjak dari era PGK pada masa darurat hingga ke hari ini telah banyak tugas-tugas gerakan yang telah dijalankan oleh 7 RAMD. Banyak operasi yang dijalankan telah membawa kejayaan. Antara kejayaan dalam gerakan membanteras musuh adalah ialah pada 14 Jan 1954, seramai 3 PGK telah dibunuh oleh Lt Mohamad bin Hashim di Raub, Pahang.

 

       Seterusnya pada 14 Mei 1957, seramai 18 PGK telah dibunuh oleh Ketua Kompeni A di bawah perintah Mej Christie di Jelebu, Negeri Sembilan. Kemudian pada 03 Jul 1957, seramai 3 PGK telah dibunuh dan seorang ditangkap oleh Pl 10 di bawah perintah Lt Hasan bin Salleh. Diikuti pada 14 Mei 1961, Kompeni A di bawah arahan Mej Christie dengan bantuan Lincoln Bomber No 1 Sqn RAAF telah mengebom musuh di KM 5 Jelebu dan telah membunuh 18 PGK.

 

       Manakala pada Sep 1966, dua orang TNKU telah dapat ditawan di bawah perintah Lt M Kamaruzaman bin Hj Mohd Noor di kawasan Merotai, Tawau. Akhir sekali pada 11 Sep hingga 11 Okt 1975 penjejakan telah dibuat di kawasan Kuala Kubu Bharu dan telah menjumpai bekas-bekas penginapan dan simpanan makanan milik PGK dan pada 17 Dis 1975 di kawasan Kroh, Perak dalam Op Kota Delta berkekuatan 1 Kompeni telah dapat memusnahkan 1 kali jerangkap samar musuh.

 

       Sejak penubuhan, pasukan telah terlibat dengan penugasan PBB sebanyak tiga kali. Penugasan pertama di Congo pada 1963 dalam misi panji-panji PBB selama satu tahun bermula pada 16 Feb 1962 hingga 07 Jan 1963. Kemudian pada 23 Jun 1993, Kompeni A yang diketuai oleh Mej Nasir bin Mohd Ali telah ditumpangkan ke 19 RAMD untuk penugasan PBB di Somalia. Kompeni ini berada selama 6 bulan di Somalia dan pulang ke tanah air pada 06 Jan 1994.

 

       Seterusnya pada 03 Mac 1994,pasukan telah dipilih sebagai pasukan pengaman di Somalia di bawah pemerintah MALBATT III sehingga misi ditamatkan dalam tahun 1995. Sejak 7 RAMD ditubuhkan pada tanggal 01 Okt 1953, pasukan ini berkembang mengikut keperluan semasa. Evolusi pasukan sentiasa diselarikan dengan keperluan tugas semasa sama ada tugas operasi atau tugas semasa aman.
 

       Bermula sebagai Batalion Infantri Biasa yang berkhidmat dengan cemerlang membantu negara menghapuskan ancaman PGK, pasukan ini turut cemerlang dalam penugasan di bawah misi PBB serta operasi sempadan Malaysia – Thailand, Malaysia – Indonesia dan Malaysia – Filipina. Sebagai Batalion Infantri Standard masa kini, 7 RAMD sentiasa sedia untuk diaturgerak sama ada bagi penugasan dalam negara mahupun antarabangsa.

bottom of page